BeritaInfo Niaga

CIMB & Axiata Digital Meterai Kerjasama Untuk Tawarkan Pembiayaan Kepada 700,000 PKS

Dana itu akan disalurkan menerusi platform pinjaman mikro ADC iaitu Aspirasi.

KUALA LUMPUR, 9 Ogos — CIMB Group Holdings Bhd telah memeterai kerjasama dengan Axiata Digital Capital (ADC) untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan kepada kira-kira 700,000 pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dan Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif (Perbankan Komersial) kumpulan CIMB Victor Lee Meng Teck berkata dana itu akan disalurkan menerusi platform pinjaman mikro ADC iaitu Aspirasi.

“Menerusi kerjasama ini, kami mahu memenuhi keperluan unik PKS berdasarkan peringkat hayat perniagaan mereka yang berbeza.

“Lagipun, CIMB juga akan memberikan sokongan menyeluruh kepada PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka di pasaran tempatan dan juga luar pesisir, dengan memanfaatkan rangkaian dan pertapakan kukuh kami di peringkat serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Mac tahun ini, CIMB mengumumkan komitmennya untuk menyalurkan RM15 bilion kepada 100,000 PKS bagi tempoh 2019-2020.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Axiata Digital dan Pengarah Axiata Digital Capital Sheyantha Abeykoon berkata kerjasama dengan CIMB akan membolehkan PKS mendapat akses kepada penyelesaian pembiayaan tanpa batasan dan pantas untuk menyokong pertumbuhan mereka.

“Kami teruja dapat menjalin kerjasama dengan CIMB, sebuah organisasi yang turut berkongsi visi yang sama dengan kami untuk memperkasakan perniagaan kecil menerusi teknologi digital inklusif,” katanya.

Sheyantha berkata Aspirasi sebagai platform pembiayaan digital baharu, menawarkan perjalanan permohonan pinjaman digital dengan taja jamin segera dan penyaluran pinjaman pantas, yang akan memberikan pelanggan pengalaman yang tiada bandingannya.

“Axiata Digital menyasarkan untuk mewujudkan masyarakat bersedia untuk masa depan dan pembiayaan inklusif kepada kalangan yang tidak disediakan dengan perkhidmatan sewajarnya, dan pada masa yang sama mempamerkan manfaat ICT ke atas perniagaan untuk kejayaan dan pertumbuhan mikro dan PKS,” katanya.

Tags
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker