Ekonomi

Cadangan Had Transaksi Tunai Bank Negara Rm25,000

Bermula tahun hadapan, had transaksi tunai (HTT) yang sebelum ini ditetapkan pada kadar RM50,000 akan dikurangkan kepada RM25,000. Ini merupakan sebahagian daripada cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengukuhkan integriti kewangan negara. Sebarang transaksi melebihi had amaun yang dinyatakan perlu dibuat melalui medium elektronik atau cek. HTT merupakan inisiatif di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Wang Haram (NCC) adalah had ditetapkan bagi jumlah yang boleh dibayar menggunakan wang tunai bagi sesuatu urus niaga. Jika transaksi itu melebihi had yang dinyatakan, maka ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menurut Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, perlaksanaan HTT digunakan bagi sebarang transaksi wang tunai untuk pembayaran barangan dan perkhidmatan menerusi perniagaan ke perniagaan (B2B); perniagaan kepada pengguna (B2C); pengguna kepada pengguna (C2C) serta sebarang pemindahan wang tunai secara fizikal seperti derma. Bagaimanapun, transaksi tunai melalui atau dengan bank berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, bank Islam berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 atau pengendali berlesen di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 atau institusi yang ditetapkan di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 dikecualikan daripada had berkenaan. Begitu juga dengan transaksi tunai di bawah situasi mendesak seperti bantuan kemanusiaan dan bantuan bencana di mana transaksi sebegini dikecualikan daripada had berkenaan. Namun, pengecualian ini harus mendapat kelulusan Menteri Kewangan berdasarkan cadangan BNM.

Ketika ini, BNM sedang menyediakan kertas rundingan bertujuan mendapatkan maklum balas orang ramai berhubung cadangan jumlah HTT, pengecualian terhad untuk cadangan berkenaan dan cabaran praktikal untuk melaksanakannya. Tambah Datuk Abdul Rasheed, “Tempoh rundingan bermula dari 11 November hingga 31 Disember 2019 dan orang ramai, pihak industri serta pihak berkepentingan lain digalakkan memberi maklum balas bertulis berkenaan persoalan yang dikemukakan serta isu berkaitan cadangan itu.” Proses mendapatkan maklum balas tentang HTT bakal bermula Isnin ini. Orang ramai boleh memuat turun borang di laman sesawang BNM dan menghantarnya ke e-mel ctl_ncc@bnm.gov.my atau WhatsApp ke 0193019141. Tempoh maklum balas ini akan berakhir pada 31 Disember 2019.

BNM memberi jaminan pengenalan langkah ini tidak akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara kerana ia mensasarkan kumpulan penjenayah yang menggunakan wang tunai dalam menjalankan operasi mereka. Tambah Datuk Abdul Rasheed lagi, usaha ini juga dilihat dapat merangsang pemantapan operasi platform elektronik dan menggalakkan lebih ramai pemain industri untuk menggunakan platform elektronik yang dilihat jauh lebih selamat. Bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM), cadangan HTT RM25,000 itu disambut baik kerana ini memudahkan usaha mereka membanteras jenayah kewangan dengan lebih efektif.

Namun, sudah timbul suara-suara yang tidak puas hati dengan cadangan HTT ini terutama dalam kalangan pemain industri kecil dan sederhana (IKS). Menurut Pengerusi Persatuan IKS Malaysia, Datuk Michael Kang, kebanyakan perniagaan kecil masih menggunakan transaksi tunai dengan rantaian bekalan mereka dan menetapkan had pada amaun sedemikian dianggap menyusahkan. Tambah beliau, “Bagi pengusaha IKS, pembekal-pembekal lebih suka mendapat bayaran wang tunai kerana menganggap ia jauh lebih selamat. Jika transaksi tunai dihadkan kepada RM25,000, maka proses pembayaran juga akan terjejas. Contohnya jika bil bayaran ialah RM40,000, kami perlu membuat transaksi sebanyak dua kali untuk mendapatkan amaun berkenaan.” Datuk Michael turut memberitahu persatuan itu akan menyertai sesi rundingan awam dengan BNM yang akan bermula Isnin ini. IKS mewakili 98.5% entiti perniagaan yang wujud di Malaysia atau lebih 900,000 perniagaan.

Sementara Pengerusi Persatuan Perniagaan dan Industri India Malaysia, Datuk N. Gobalakrishnan menyifatkan had HTT bakal mewujudkan suasana perniagaan kurang sihat kepada pengusaha IKS. Ini kerana menurut beliau, pemain-pemain industri yang besar mempunyai belanjawan untuk enam bulan seterusnya dan boleh merancang perbelanjaan mereka dengan melakukan transaksi perbankan seperti pembayaran gaji dan pembekal secara dalam talian. Tambahnya lagi, “Tetapi untuk syarikat-syarikat baru dan IKS, menafikan mereka (keupayaan) untuk berurusan dalam bentuk tunai merupakan sesuatu yang tidak sihat dan tidak menggalakkan mereka berurus niaga.”

Di Pulau Pinang, komuniti perniagaan sudah menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap cadangan BNM itu. Pengerusi Persatuan Pengilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Ooi Eng Hock menyifatkan cadangan tersebut bersifat pro dan kontra. Walaupun HTT dilihat dapat membantu pihak berkuasa membanteras jenayah kewangan tetapi pada masa sama menyukarkan urusan perniagaan dijalankan. Tambah Datuk Eng Hock, had RM25,000 yang dicadangkan BNM berbanding had sebelum ini iaitu RM50,000 dilihat terlalu rendah dan menyusahkan. Beliau menambah, BNM seharusnya memfokuskan usaha membanteras jenayah kewangan dalam talian dan memberi keyakinan kepada peniaga menggunakan platform pembayaran elektronik.

Bekas ahli Persatuan Peniaga Melayu Pulau Pinang yang juga seorang pengusaha automotif dan industri pembinaan, Raja Rizal Kamrul Abdullah turut menolak idea HTT itu. Ini kerana dalam sesetengah industri terutama industri pembinaan, transaksi tunai amat penting bagi majikan dalam urusan seperti pembayaran gaji pekerja dan pembelian barang pembinaan. Dia menambah ahli perniagaan tidak mengeluarkan wang tunai sesuka hati dan jika mereka hendak membuat transaksi wang tunai yang besar, sudah pasti mereka mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian. Tambahnya, “Mungkin ini dapat menghalang ceti haram tetapi bagi saya, ia lebih banyak mendatangkan masalah daripada manfaat.”

Sumber
Tang, Ashley dan Zainal, Fatimah. (2019). Cash limits may stifle SMEs and startups. The StarSingh, Jagdev. (2019). Cutting down on illicit activity. The Star
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker