Ad
Komentar

Brain Drain vs Brain In The Drain

'Brain drain' ini adalah isu yang merentas bangsa dan agama.

Semenjak perlantikan Kamala Harris sebagai Timbalan Presiden Amerika, isu adakah bangsa selain Melayu mendapat peluang yang sama di Malaysia terus dimainkan media-media kiri dan liberal.

Isu dihangatkan lagi dengan perlantikan Jocelyn Yow, anak dari hasil perkahwinan bapa (Malaysia) dan ibu (Vietnam) yang membesar di Amerika dan dilantik menjadi salah seorang Datuk Bandar di sebuah bandar di California.

Hampir setiap hari media-media kiri dan liberal memainkan isu ini dalam naratif ‘brain drain’ (kehilangan bakat yang berhijrah ke negara luar) serta dalam naratif “orang bukan Melayu tiada masa depan di negara ini”.

Ad

Pertama sekali sebelum saya mula memberikan pandangan, saya ingin jelaskan, ada bezanya maksud ‘brain drain’ iaitu kehilangan bakat dan potensi kepada negara luar dengan ‘brain in the drain’ iaitu orang-orang yang otaknya diletakkan dalam longkang.

‘Brain drain’ ini bukan isu baru di Malaysia. Malah disebabkan isu inilah kerajaan terdahulu mencipta Talentcorp dan berusaha menaikkan infrastruktur serta pendapatan dan ekonomi rakyat supaya dapat menarik semula golongan-golongan profesional ini kembali ke Malaysia.

‘Brain drain’ ini adalah isu yang merentas bangsa dan agama. Ramai orang Melayu, India, Cina dan lain-lain bangsa di Malaysia yang berbakat telah memilih untuk berhijrah ke luar negara. Jadi agak hairan bila media-media kiri dan liberal ini suka memainkan isu ini hanya dari aspek “Orang bukan Melayu tidak mendapat peluang di Malaysia sepertimana orang Melayu”.

Related Articles

Jika ini bukan hasil dari kebodohan, ini sudah pasti hasil dari niat jahat memburuk-burukkan dan melaga-lagakan kaum di Malaysia. Niat tersembunyinya juga sudah pastilah untuk memburuk-burukkan orang Melayu dengan anggapan kaum minoriti di sini ditindas.

Sejujurnya saya ingin bertanyakan;

“Adakah kita terlalu bodoh, buta dan tuli untuk melihat realiti sebenar kehidupan di sini sehingga kita termakan dakyah-dakyah bodoh sebegini?”

Di Malaysia bangsa-bangsa selain Melayu dibenarkan;

  1. Mengamalkan agama dan mendirikan rumah-rumah ibadah mereka.
  2. Mengamalkan dan mengajar bahasa, budaya dan tradisi mereka serta ke tahap mendirikan sekolah-sekolah dan sistem pembelajaran sendiri.
  3. Membina empayar peniagaan serta memiliki aset-aset dan tanah-tanah (sehingga 50 terkaya di Malaysia didominasi bukan bangsa Melayu).
  4. Menjadi pemimpin-pemimpin, Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri, Ahli Parlimen, ADUN dan pelbagai lagi walaupun di kawasan majoriti Melayu.
  5. Membina persatuan-persatuan dan dewan-dewan berasakan bangsa mereka sendiri.

Adakah kita semua bodoh, buta dan tuli sehingga hanya 1 2 orang yang diiktiraf di luar negara, apa yang di depan mata kita tak nampak?

Jocelyn Yew ditabalkan sebagai Datuk Bandar pada 10 Disember, sehingga ke hari ini, 20 Disember, isu ini masih dimainkan di media-media kiri dan liberal.

(Sumber: https://www.facebook.com/47298465905/posts/10157778756775906/)

10 hari isu ini dimainkan.

Jika ini bukan suatu yang bodoh, buta dan tuli, ia sudah pastilah satu usaha yang berterusan untuk memburuk-burukkan negara serta mewarnakan sepertinya orang Melayu ini melayan golongan minoriti dengan buruk sekali di Malaysia ini.

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil serius usaha-usaha memburuk-burukkan negara seperti ini. Ia juga wajib dipandang serius kerana ia adalah satu bentuk fitnah, ‘misinformation’ serta ada kecenderungan untuk mewujudkan ketegangan antara kaum yang akan semakin membarah menuju ke depan nanti.

Etika kewartawanan begini harus ditolak dan dikeji. Ia tidak bermoral dan jelas melebarkan lagi perpaduan dikalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Kita bukan sahaja berdepan masalah kehilangan bakat dan potensi kepada negara luar, malah yang tinggal dalam negara ini pula kebanyakan bermentaliti dan berotakkan longkang.

Sekian.

Related Articles

Back to top button