Kewangan

Berapa Sebenarnya Diperlukan Untuk Persaraan Anda ?

Mitos : Lagi kompleks strategi anda, lagi banyak pulangan.
Realiti : Simpan untuk persaraan tidak perlu terlalu kompleks, bahkan cukup sekadar simpan ditempat yang tidak agresif. Kurangkan hutang, mulakan melabur bila anda bersedia.

Diatas ni adalah petikan daripada Dave Ramsey, seorang financial planner antarabangsa yang terkenal. Kebanyakan nasihat daripada beliau sangat mudah difahami dan praktikal.

Artikel kali ini kita tidak akan bincangkan dimana anda perlu labur. Simpan untuk persaraan adalah satu tempoh yang lama. Jadi, jangan terburu-buru. Mulakan simpanan adalah langkah awal yang bagus.

Persoalannya, berapa banyak perlu simpan ?

Dalam hal ni, kiraan untuk penjawat awam berbeza dengan kakitangan swasta. Jadi, kita akan bincangkan satu persatu.

Sebelum tu, kita kena tahu dahulu apa matlamat ketika bersara nanti ?

Ada orang nak pendapatan bulanan secara ‘pasif’ sebanyak RM10,000.
Ada orang nak bebas hutang.
Ada orang nak melancong satu dunia.

Macam-macam nak buat, sampai pening. Tu yang duit persaraan cepat habis. Baru beberapa tahun bersara, duit dah habis dan terpaksa kerja semula.

Untuk memudahkan pemahaman, boleh kita semua sepakat bila bersara kita nak ada pendapatan secara pasif bersamaan dengan gaji akhir kita dengan andaian duit belanja kita bersamaan dengan jumlah gaji kita?

” Tapi saya sekarang baru umur 30, macam mana nak tahu gaji saya bila bersara nanti ? “

Baik, jom kita main kira-kira.

Pengiraan Dana Persaraan

Encik Ahmad akan bersara pada umur 60, ada lagi 30 tahun. Dengan ambil kira kadar inflasi 3.5% (contoh) , perbelanjaannya ketika bersara akan jadi seperti berikut :

Gunakan App Financial Calculator
Principal amount = Belanja bulanan
Period = Baki Tempoh nak bersara
Annual Interest Rate = Kadar inflasi

Kebiasaannya kenaikan gaji seiring dengan kadar inflasi. Kebiasaannya lah. Ini juga bergantung pada tahap jawatan kita. Kita genapkan, perbelanjaan bila bersara nanti akan jadi lebih kurang RM5,500 bila bersara nanti.

Macam mana pula nak dapatkan RM5,500 dengan goyang kaki sahaja bila bersara nanti ?

Disini ada dua cara iaitu :

Capital Liquidation Method (CLM)

Kaedah ni mengandaikan duit persaraan anda akan habis sepanjang tempoh persaraan.

Berdasarkan statistik, jangka hayat rakyat Malaysia adalah sekitar 75. Jika bersara umur 60, tempoh persaraan anda adalah selama 15 tahun. Dengan kaedah ini, dana persaraan anda akan habis dalam masa 15 tahun sahaja.

Capital Protected Method (CPM)

Nak mudah faham, dana persaraan yang ikut kaedah ini akan bertahan lebih lama. Sampai 7 keturunan pun boleh, dengan syarat keturunan anda jenis boleh pakai, bukan jenis boros.

Mana satu lebih bagus ? Kalau kita bandingkan dari segi saiz dana, CLM memerlukan saiz dana yang lebih kecil. Dimana ia mudah hendak dicapai berbanding kaedah CPM.

Kita akan bincangkan kaedah CPM, sebab mudah faham. Nak tahu lebih lanjut berkenaan kaedah CLM, boleh berjumpa dengan penasihat kewangan yang berdaftar.

Cara Kira Kaedah CPM

Berbalik pada info diatas :
Umur sekarang : 30
Umur bersara : 60
Tempoh persaraan : 15 tahun (75-60 = 15)
Perbelanjaan bulanan bersara : RM5,500

Kita andaikan, bila bersara nanti tidak mahu pening kepala ambil risiko. Nak letak tempat yang hampir sifar risiko tapi pulangan mengatasi kadar inflasi.

Contohnya, ASB beri pulangan purata 6%, money market pula 3.5 – 4%. Orang dulu simpan di Tabung Haji, tapi sekarang dah berubah.

Dalam kiraan ni, kita letak dalam instrumen yang beri pulangan 6%.

Perbelanjaan setahun / pulangan simpanan = Dana Persaraan
RM66,000 / 6% = RM1,100,000

Kenapa kira macam ni?

Bila ada dana RM1.1 juta, letak dalam instrumen setahun beri 6%, anda akan dapat RM66,000. Bahagi pula kepada 12, sebulan dapatlah RM5,500.

Nampak tak? Bila bersara anda hanya belanja dividen sahaja sampai lebam. Modal anda tak sentuh langsung. Sebab itu ia dipanggil ‘capital protected‘.

Makin besar belanja anda, makin besarlah dana persaraan anda perlukan. Jadi, bila nak bersara tu, ubahlah gaya hidup atau kurangkan hutang serendah yang boleh.

Bagaimana pula nak kumpul RM1.1 juta ?

Yang ni kita kena tengok aset sedia ada. Kita akan buat unjuran pada masa akan datang berapa nilai aset tu. Dalam hal ni, saya tak ambil kira sebab saya nak fokus kepada gaji dan simpanan anda sahaja. Lagi sekali, untuk tahu lebih lanjut boleh rujuk penasihat kewangan berdaftar.

Kiraan Untuk Pekerja Swasta

kiraan-persaraan
Dengan andaian, kadar kenaikan gaji tahun = 2%

Sengaja diletakkan kadar kenaikan gaji rendah iaitu 2% supaya underpromise, overdeliver.

Berdasarkan rajah diatas, ketika bersara nanti, KWSP Encik Ahmad berjumlah RM767k. Sedangkan dia memerlukan RM1.1 juta. Dia kekurangan sebanyak RM333k.

kiraan-persaraan

Untuk ‘close tha gap‘ , Encik Ahmad perlu simpan sebanyak RM4,212 setahun dalam instrumen yang menjana keuntungan 6% setahun. Ia adalah bersamaan RM351 sebulan.

Jika dibandingkan dengan gaji RM3,000 , simpanan bulanan tu adalah 11.7%. Make sense kan kenapa kena simpan minimum 10% setiap bulan ?

Kiraan Untuk Persaraan Penjawat Awam

Untuk penjawat awam pula, anda ada dua jenis bayaran yang bakal diterima iaitu pencen bulanan dan gratuiti/ganjaran perkhidmatan (dapat sekaligus).

Formula Pengiraan Gratuiti
= 7.5% x Gaji Terakhir x Jumlah bulan perkhidmatan

Encik Ahmad tadi contohnya gaji akhir adalah RM5,500 :
= 7.5% x RM5,500 x 360
= RM148,500

Formula Pengiraan Pencen Bulanan
= 1/600 x Jumlah genap bulan tempoh perkhidmatan x Gaji bulanan terakhir

*Terhad kepada maksimum 360 bulan tempoh perkhidmatan
*Tertakluk kepada pencen maksimum 3/5 daripada gaji pokok terakhir (60%)

Dalam kes Encik Ahmad,
= 1/600 x 360 x RM5,500
= RM3,300

Anda perlukan RM5,500 sebulan bila bersara, jadi anda kekurangan RM2,200.

Gunakan formula kira dana persaraan kat atas tadi :
= jumlah setahun / 6%
= (RM2,200 x 12) / 6%
= RM440,000

Anda perlukan RM440k untuk bersara. Lepas tolak gratutiti RM148,500 , anda kekurangan RM291,500 lagi.

kira-persaraan

Untuk close the gap, anda kena simpan RM3,687 setahun dalam instrumen yang menjana keuntunga 6% setahun. Iaitu bersamaan dengan RM308 sebulan.

Nampak tak ? Tak perlu pusing sana sini, hanya sekadar simpan di tempat yang betul sahaja, anda boleh bersara dengan tenang.

Faham ke ni? Risau pula makin pening.

Kesimpulannya, bila bersara nanti, anda akan peroleh duit segedebuk seperti duit gratuiti dan KWSP yang menyebabkan anda rambang mata. Buatlah perancangan, kalau duit anda lebih daripada apa yang diperlukan, barulah boleh berjoli. Ini tidak, berjoli dulu lepas tu kena kerja semula walaupun dah pencen. Sebabnya, duit persaraan dah habis.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker