Info Niaga

Benarkah Produk China Tidak Berkualiti?

Setiap kali berbelanja, kita sentiasa mencari barang yang berkualiti walaupun kadangkala ia memakan kos yang tinggi. Bak kata pepatah, alah membeli, menang memakai. Ini termasuklah mencari produk yang dikeluarkan negara-negara yang dijamin kualitinya seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan. Tetapi sebut pasal barangan buatan China, kita sentiasa membuat anggapan barangan keluaran China sebagai murah dan tidak berkualiti. Apakah pandangan tersebut betul atau itu cuma satu mitos?

Bukan sesuatu yang asing bila kita dengar sesetengah produk yang dikeluarkan dari China ditarik balik atas sebab keselamatan atau isu kesihatan. Contohnya pada tahun 2007, Mattel terpaksa menarik balik barangan permainannya yang dibuat di China atas alasan mengandungi tahap cat plumbum yang tidak dibenarkan. Berita-berita sebegini menonjolkan China sebagai sebuah negara yang tidak mementingkan kualiti dan keselamatan produk serta hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Tetapi jika anda lihat betul-betul, pengilang-pengilang China berusaha menghasilkan produk-produk berkualiti dan bertaraf dunia serta menggunakan teknologi terkini untuk menghasilkannya. Dan dalam tempoh beberapa tahun ini, sektor perkilangan China telah mengambil langkah-langkah progresif seiring dengan perkembangan zaman. Dan ini telah dibuktikan dalam beberapa sektor terutama teknologi maklumat dan permotoran.

Pembangunan sektor teknologi terutama membabitkan telefon bimbit dan produk elektronik dilihat seiring dengan aspirasi China yang mahu menjadi pemimpin sektor teknologi dunia. Jenama-jenama telefon bimbit China sudah mula mencabar syarikat-syarikat pengeluar seperti Apple dan Samsung sekaligus menonjolkan China sebagai sebuah negara yang menghargai inovasi dan kualiti. Tiga syarikat pengeluar telefon bimbit China iaitu Huawei, Xiaomi dan OPPO merupakan pengeluar telefon bimbit kedua, keempat dan kelima terbesar di dunia.

Huawei juga mengatasi pertumbuhan Apple dengan pertumbuhan sebanyak 41% antara 2017 hingga 2018. Namun, dominasi China bukan sekadar sektor pembuatan telefon bimbit. Dalam bidang pembuatan dron, firma Daijiang Innovation atau DNI dilabel pendominasi dron mendominasi pasaran dron global pada tahun 2018. Dron mereka boleh dijual hingga mencecah $4,999, boleh terbang sehingga 31 minit dan boleh merakam video beresolusi tinggi.

Keadaan ini berlaku berikutan pengenalan visi China seterusnya iaitu Made in China 2025. Made in China 2025 ialah matlamat China untuk menjadi sebuah negara berteknologi, hijau dan inovatif pada tahun 2025. Dan untuk merealisasikan matlamat ini, China mahukan pengeluar domestik menghasilkan lebih banyak komponen teknologi bertaraf tinggi. Justeru dalam memenuhi kehendak pasaran dan memastikan kehendak kerajaan dipenuhi, lebih banyak firma China melabur dalam inovasi teknologi seperti yang dibuat oleh Huawei.

Untuk memastikan kualiti yang dihasilkan sememangnya berkualiti tinggi, China turut meniru elemen kaizen. Kaizen pada dasarnya ialah satu cara untuk memperbaiki diri dengan berterusan dari segi proses organisasi yang membawa kepada penambahbaikan kualiti pengeluaran produk. Bagi pengilang yang masih menggunakan khidmat pekerja seperti bidang penghasilan pakaian, elemen kaizen menjadi pilihan amalan pengilangan mereka. Menurut seorang CEO yang enggan dikenali, sesebuah syarikat harus menjadi lebih efisien jika hendak terus berjaya dalam industri mereka.

Bagi yang mengikut arus perubahan teknologi, ada yang memilih penggunaan robotik. Pada tahun 2015, sebuah kilang tanpa manusia pertama dibuka dengan 60 robot menggantikan 600 pekerja yang menghasilkan komponen telefon bimbit. Menerusi teknologi robotik yang digunakan, kadar kecacatan modul telefon bimbit yang dihasilkan berkurangan dari 25% kepada 5%. Sementara kapasiti pengeluaran telefon bimbit juga bertambah sebanyak tiga kali ganda sejak teknologi robotik ini diperkenalkan. Apa yang dibuat melambangkan hasrat China untuk beralih dari menghasilkan produk-produk berharga murah dan berkualiti rendah.

Jadi di sebalik semua ini, mengapa China terus dilabel sebagai sebuah negara pengeluar berkualiti rendah? Satu daripadanya ialah mesej-mesej negatif yang disebarkan oleh media. Dan ini terbukti menerusi satu eksperimen yang dijalankan oleh Profesor Madya Gang Han dari Sekolah Kewartawanan dan Komunikasi Greenlee di Universiti Negeri Iowa. Dalam satu eksperimen, dua artikel New York Times berkenaan China disusun dalam konteks negatif dan positif dengan dua kumpulan pelajar membaca mengikut dua konteks yang dinyatakan. Pada akhir eksperimen, kedua-dua kumpulan memberi komen lebih positif atau negatif bergantung kepada konteks bacaan mereka itu.

Selain itu, isu kualiti ini kadangkala ada kaitan dengan kos bayaran yang dikenakan klien ke atas pengilang. Ada yang menawarkan bayaran rendah kepada pengilang dengan harapan berjaya mendapatkan produk pada kadar yang murah. Tetapi selepas melihat produk akhir yang dikeluarkan, klien merasa hampa dan marah. Tetapi klien sebegini tidak sedar bila mereka mengenakan kadar pembuatan yang rendah, maka tekanan dikenakan ke atas pengilang untuk cuba menghasilkan produk yang diingini mengikut kos yang dinyatakan. Ini mendorong mereka membuat potongan semasa pembuatan dilakukan walaupun itu bermakna mengurangkan kualiti produk yang dihasilkan.

Perkara sebegini terjadi kadangkala disebabkan spesifikasi yang kabur. Bohonglah pada satu-satu masa, klien terlupa mengatakan ciri-ciri penting pada produk, bilangan pada pesanan pembelian atau spesifikasi yang kabur. Jadi menjadi tanggungjawab kepada pengilang untuk cuba mengisi maklumat-maklumat yang hilang ini dengan meneka apa yang dimahukan klien daripada berhubung terus dengan mereka. Akibatnya, ini mengakibatkan salah faham sehingga menyebabkan kualiti produk yang dihasilkan terjejas.

Satu lagi masalah ialah kegagalan klien memeriksa kualiti produk yang dihasilkan di kilang. Walaupun sudah wujud jaminan dari pihak kilang dan spesifikasi yang diberi menepati kehendak mereka, masih menjadi keperluan bagi klien memastikan kualiti yang dihasilkan sememangnya berkualiti. Tetapi keadaan ini tidak berlaku kerana terlalu percayakan pihak kilang sehingga menyebabkan sesetengah produk yang tidak sepatutnya keluar dari kilang terlepas begitu saja.

Jadi, jika anda seorang klien yang hendak berurusniaga dengan pihak luar terutama dari China secara terus berikutan isu seperti kempen Buy Muslim Bumiputra First (BMBF), sedikit tips untuk anda:

1. Bila hendak memesan kuantiti barang, pastikan ianya pesanan yang dibuat bersifat realistik. Walaupun sesetengah kilang mahukan klien yang dapat memesan barang dalam kuantiti ribuan dan bukan ratusan, mereka juga tidak mahu tertipu sehingga memusnahkan apa saja hubungan yang terjalin. Nak selamat, buat pesanan barang dalam kuantiti tertentu untuk menguji kemampuan kilang tersebut atau tidak. Dari situ, baru boleh berunding tentang kuantiti barang dan bilangan diperlukan untuk kedua-dua pihak mara ke hadapan.

2. Ajak pihak kilang untuk memahami pelan pertumbuhan. Ini kerana pihak kilang mengambil peluang dengan klien sama seperti pihak di sebelah sana. Bagi seseorang pengurus kilang, klien yang membuktikan mereka mempunyai rancangan untuk membangun dan mengembangkan syarikat dianggap pelanggan berharga dan patut dikekalkan. Orang sebegini amat dihargai oleh pihak kilang dan ini boleh membawa kepada pengekalan kualiti barang, harga rendah per unit, memenuhi tarikh akhir pembuatan dan menjadikan klien sebagai klien bernilai tinggi kepada syarikat pengeluar.

3. Semua orang akan menabur janji tanpa mengira siapa dari ahli politik hinggalah pihak pengilang. Walaupun klien merasa enak dilayan baik oleh pengilang, cuba kekalkan objektif dalam menilai siapa pengilang terbaik untuk menghasilkan produk mereka. Jika sudah berpuas hati, tiada isu. Tetapi jika ada, pastikan ia harus diselesaikan terlebih dahulu. Jika tidak, kedua-duanya akan bermasalah dan ini bakal memberi masalah kepada kedua-dua pihak.

4. Tawar-menawar memang elok jika hendak memastikan klien mengelak dari terlebih bayar. Tetapi jangan sampai mengorbankan kualiti produk yang dihasilkan. Ini kerana menerusi kos yang rendah, pengilang akan merasa tertekan sehingga sanggup mengorbankan kualiti demi memastikan kuantiti barang dapat disediakan menjelang tarikh akhir yang ditetapkan.

5. Jika berunding dengan pihak luar terutama China, bawalah penterjemah sendiri dan bukan pekerja kilang. Bukan tidak percayakan sesiapa tetapi bimbang boleh membawa kepada salah faham komunikasi yang akhirnya merugikan kedua-dua pihak. Dengan penterjemah sendiri, klien mendapat maklum balas terus dan jawapan yang lebih tepat, maklumat yang boleh diharapkan dan sentiasa meletakkan kepentingan klien mereka di hadapan.

Anda berminat untuk mempelajari bagaimana caranya untuk membeli barang daripada China? Jom sertai kelas yang dianjurkan oleh BGST

Antaranya perkara yang akan diajar nanti adalah:
* Cara nak tingkatkan keuntungan, & kurangkan kos
* Cara-cara deal dengan supplier
* Kiraan tax
* Rules untuk import dan macam-macam lagi
.
Di BGST Resources Sdn Bhd. Kami ajarkan A sampai Z !

Hanya kepada peserta Kursus Borong China

Next kelas ni kami akan buat oktober ini

Tarikh: 19 & 20 Oktober 2019
Masa: 9.00am-5.00pm

Link pendaftaran: http://www.wasap.my/+60165939297/PATRIOTS

Sumber
Hunt, Angie. (2016). HOW ‘MADE IN CHINA’ GOT A BAD REPUTATION. FuturityKnack, Oliver. (2016). TOP 5 TIPS FOR NEGOTIATING WITH CHINESE FACTORIES. InTouch-Quality
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker