EkonomiIsu Semasa

Belia Realistik, Tidak Memilih – KRI

Pengangguran belia kekal cabaran dan prioriti utama kerajaan serta antara topik utama diskusi. Namun, di Malaysia, belia yang menganggur sering dianggap dan dicanang bersikap terlalu memilih dan tidak realistik. Anggapan ini didapati tidak berasas.

Bertentangan dengan sentimen umum, kajian Peralihan Pendidikan ke Pekerjaan (SWTS) oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati sikap belia tidaklah seburuk yang disangka. Malahan, mereka didapati tidak cerewet memilih pekerjaan dan mempunyai jangkaan gaji yang munasabah.

Belia tidak cerewet memilih pekerjaan

Belia tidak seharusnya dianggap cerewet apabila kajian SWTS mendapati sebahagian besar daripada responden memegang jawatan lebih rendah daripada kelayakan, bekerja dalam sektor bukan pilihan, dan berminat dengan pekerjaan warga asing yang dianggap kotor, sukar dan berbahaya.

Mitos 1: Belia tidak cukup kelayakan?

Golongan muda sering dinasihati supaya tidak bersikap memilih dan bersedia untuk menerima apa sahaja pekerjaan tanpa mengira taraf kelayakan akademik mereka. Namun begitu, seperti tertera pada Rajah 1 dan 2, peratusan tinggi responden belia dalam pekerjaan tidak mahir dan berkemahiran rendah mempunyai kelayakan yang lebih tinggi daripada yang diperlukan.

Tidak hairanlah rata-rata pencari kerja muda berpendapat, selain kurang peluang pekerjaan dan persaingan sengit, ketidakpadanan pendidikan dan pekerjaan merupakan antara halangan utama dalam mencari kerja.

Mitos 2: Belia terlalu memilih kerja?

Bertentangan dengan persepsi umum yang kononnya belia enggan bekerja di luar bidang pengajian, data survei menunjukkan bahawa majoriti golongan muda sudah pun bekerja dalam sektor bukan pilihan dan tidak berkaitan dengan bidang pengajian mereka.

Mitos 3: Belia tak mahu kerja warga asing?

Kajian SWTS juga mendapati semakin lama golongan muda berada di dalam pasaran buruh, semakin banyak antara mereka merasakan mereka bersaing dengan warga asing untuk pekerjaan yang sama.

Walaupun para belia jelas mahukan pekerjaan pegawai dagang yang berkemahiran tinggi, peratusan besar belia juga melihat pekerja migran berkemahiran rendah sebagai ancaman kepada pekerjaan yang diinginkan1. Dapatan ini bertentangan dengan tanggapan bahawa belia tidak mahukan pekerjaan warga asing yang kotor, sukar dan berbahaya.

Mitos 4: Jangkaan gaji belia melampau?

Apabila ditanya gaji terendah yang sanggup diterima untuk sesuatu pekerjaan, pencari kerja belia, secara purata, sanggup menerima RM 1, 716 sebulan. Data ini dikenali sebagai “reservation wage” dan menunjukkan bahawa belia Malaysia sanggup bekerja pada aras gaji yang tidak melampau.

Aras gaji ini juga lebih rendah daripada purata gaji bulanan yang diterima oleh pekerja muda serta anggaran perbelanjaan bulanan bujang di Lembah Klang. Paras gaji minima oleh pencari kerja belia yang rata-rata siswazah boleh dianggap munasabah jika diambil kira:

i. Perintah gaji minimum yang ditetapkan pada RM1,100 berkuat kuasa Januari 2019;

ii. Elaun RM 2,000 yang diterima oleh peserta SL1M;

iii. Julat gaji antara RM1, 703 dan RM 2,682 yang ditawarkan kepada pekerja baru seperti dilaporkan oleh majikan yang menyertai SWTS; dan

iv. Anggaran perbelanjaan bulanan BelanjawanKu untuk bujang (pengguna pengangkutan awam), RM 1,870 di Lembah Klang yang dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tahun ini.

Mitos 5: Belia terlalu materialistik?

Dalam menentukan ciri pekerjaan yang paling penting, belia juga didapati mengutamakan keseimbangan kehidupan dan kerjaya, jaminan pekerjaan daripada pendapatan yang lumayan. Ini berbeza dengan persepsi majikan, di mana majoriti majikan melihat pendapatan lumayan sebagai ciri pekerjaan yang diutamakan oleh belia. Data seperti tertera dalam rajah 7 menyangkal anggapan bahawa belia mata duitan.

Jangan salahkan orang muda

Data survei SWTS menunjukkan bahawa belia tidak seharusnya dilihat cerewet dan tidak realistik dalam memilih pekerjaan. Sebaliknya mereka didapati sanggup bekerja di bawah tahap dan di luar bidang pengajian mereka untuk gaji yang munasabah dan tidaklah sebegitu materialistik yang disangka.

Walaupun data survei SWTS menyangkal beberapa salah anggap tentang belia, faktor disebalik pemerhatian ini masih kurang difahami. Persoalannya adakah aspirasi-aspirasi belia ini didorong oleh liputan media? Atau apakah aspirasi ini mencerminkan tindakan belia yang sebenar, dengan kata lain adakah belia “cakap serupa bikin”?

Namun begitu, apa yang jelas ialah pengalaman dan proses belia mendapatkan pekerjaan tidaklah sejelas dan semudah yang sering dicanang. Naratif pemuda memilih dan tidak realistik juga seharusnya dihakis. Apa yang jelas, strategi menangani pengangguran belia tidak boleh hanya tertumpu kepada sikap belia kerana golongan muda sedar persaingan sengit dan mereka tidak boleh memilih.

Sumber: Khazanah Research Institute

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker