Polisi

Belanjawan 2020: Ulasan Penerusan Perlaksanaan RTS Dan Penambahan 50 Lorong Di Tambak Johor

Bagi warga Johor Bahru yang berulang alik dari ibu negeri Johor itu ke Singapura, norma bagi mereka menghadapi kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Link Kedua. Ketika ini, 367,000 orang menggunakan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) setiap hari iaitu 254,000 dari bahagian Johor Bahru sementara 113,000 lagi menggunakannya di laluan Link Kedua. Jika keadaan ini berterusan, bilangan pengguna dijangka akan bertambah menjelang hujung tahun ini.

Melihat kepada isu kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Link Kedua ini, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM85 juta dalam Belanjawan 2020 untuk melancarkan pergerakan lalu lintas terutama yang menggunakan CIQ. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan menerusi peruntukan itu, ia akan digunakan untuk membuka 50 kaunter tambahan untuk pengguna motosikal. Peruntukan sama juga akan digunakan untuk menambahbaik kaunter imigresen dan laluan lebuh raya Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang menuju ke situ. Ketika ini terdapat 100 lorong motosikal di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan 50 lorong lagi di Kompleks Sultan Abu Bakar di Link Kedua.

Bacaan berkaitan: Ketidaktentuan Masa Depan Projek RTS Johor Bahru-Singapura

Tetapi bagi warga Johor terutama yang berulang alik dari Johor Bahru ke Singapura, mereka merasa skeptik langkah tersebut dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di dua laluan berkenaan. Juruteknik K. Sushtendran, 40, berpandangan walaupun langkah tersebut dialu-alukan, kesan perlaksanaan langkah tersebut dilihat sedikit. Tambahnya, “Ratusan motosikal menggunakan laluan Tambak Johor dan Link Kedua setiap hari. Saya tak fikir 50 lorong tambahan akan memberi perbezaan. Ia mungkin mengurangkan kesesakan tetapi masalahnya masih tetap sama.”

Pengurus restoran Edmund Tan, 37, pula berpandangan walaupun adanya lorong tambahan untuk pengguna lalu lintas, ia takkan memberi kesan jika bilangan pegawai yang ditugaskan menjaga kaunter-kaunter CIQ tidak mencukupi. Manakala pegawai keselamatan swasta K.Visvam, 38, punca utama kesesakan di Tambak Johor dan Link Kedua ialah bilangan kenderaan lain yang terlalu banyak seperti kereta, lori dan bas.

Melihat isu ini perlu diselesaikan secara jangka panjang, Guan Eng turut mengumumkan penerusan projek Rapid Transit System (RTS) semasa pembentangan belanjawan pada Jumaat lepas. Walaupun ramai mengalu-alukan pengumuman itu, ramai tertanya-tanya keterangan terperinci tentang projek berkenaan. Menurut pengerusi kumpulan pemantau RTS, Dr Tee Ching Seng, kerajaan tidak seharusnya membiarkan orang ramai tertanya-tanya tentang status sebenar projek dan mahukan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan lebih banyak perkara berkenaan RTS pasca-pembentangan belanjawan.

Penasihat SME Johor Selatan, Teh Kee Sin pula berpandangan Guan Eng seharusnya berterus-terang tentang status projek daripada sekadar menyatakan ia akan diteruskan. Tambahnya, “Projek RTS sudah mula direncanakan sejak tahun-tahun awal Iskandar Malaysia iaitu semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Sudah 13 tahun projek itu direncanakan dan kerajaan seharusnya meneruskan saja projek berkenaan.”

Sementara Pengerusi Persatuan Peniaga India Johor P. Sivakumar, perlaksanaan projek RTS dilihat solusi bersifat menang-menang kepada Malaysia dan Singapura kerana menarik lebih banyak pelaburan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di Tambak Johor. Pada masa sama, Sivakumar turut menggesa kerajaan bersikap telus dalam isu ini selaras dengan pendirian kerajaan hari ini.

Justeru, kerajaan harus menyatakan secara terperinci rancangan mereka terhadap RTS termasuk spesifikasi dan peruntukan belanjawan untuk projek ini. Menerusi keterangan yang dinyatakan, ini sekurang-kurangnya membolehkan warga Johor berharap ada sinar di penghujung untuk isu kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Link Kedua. Jika kerajaan masih berahsia seperti mana cara mereka menangani penangguhan RTS, maka usah marah jika rakyat menganggap kenyataan Menteri Kewangan itu ibarat menanam tebu di tepi bibir.

Sumber
The Star. (2019). ‘Extra 50 lanes at Causeway won’t help congestion’The Star. (2019). Groups want more details on RTS project.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker