Ad
Berita

Axinan, Syarikat Teknologi Insurans Asia Tenggara Pertama Bakal Dilesenkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan

Dengan lesen ini, Axinan dapat menyediakan pelbagai produk insurans yang lebih luas

SINGAPURA, 22 Ogos 2019 — Axinan, sebuah firma teknologi insurans yang berpangkalan di Singapura, merupakan syarikat teknologi insurans Asia Tenggara yang pertama berjaya memperoleh gabungan lesen Am dan Insurans Semula, dikeluarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA). Labuan FSA ialah pengawal selia kewangan untuk Labuan International Business and Financial Centre, pengawal selia berkanun di bawah Kementerian Kewangan Malaysia. Lesen yang diperoleh melalui subsidiari Axinan, Axinan Labuan Limited, memperakui Axinan sebagai Penanggung Insurans Am dan Penanggung Insurans Semula berlesen di bawah Akta Perkhidmatan & Sekuriti Kewangan Labuan 2010.

Wei Zhu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Axinan berkata, “Kami berbangga dapat menjadi syarikat teknologi insurans Asia Tenggara pertama yang diperakui oleh Labuan FSA. Sebagai perintis dalam industri teknologi insurans Asia Tenggara yang menyediakan penyelesaian untuk pelanggan dan perusahaan, kami aktif berusaha memeterai perkongsian strategik yang dapat mengukuhkan penawaran kami dalam pasaran kami beroperasi. Dengan lesen ini, Axinan dapat menyediakan pelbagai produk insurans yang lebih luas agar lebih sesuai untuk memenuhi keperluan ekonomi digital sekaligus memberi nilai tambahan kepada pelanggan sedia ada.”

Setakat Ogos 2019, terdapat 197 buah syarikat insurans dan berkaitan insurans Labuan termasuk pengusaha-pengusaha insurans global yang besar. Dengan lesen berkenaan, Axinan kini dapat menaja jamin risiko-risiko am dan insurans semula. Syarikat akan mendapat kemudahan lebih besar untuk menaja jamin rangkaian produk baharu dan mengedarkan produk insurans melalui pengaturan pendepanan bersama penanggung insurans tempatan, tertakluk kepada keperluan kawal selia negara berkenaan.

Ad

Farah Jaafar-Crossby, Ketua Pegawai Eksekutif Labuan International Business and Financial Centre Inc (Labuan IBFC Inc), cabang pembangunan pasaran untuk Labuan FSA, berkata, “Tidak dapat disangkal lagi Asia merupakan pemacu pertumbuhan utama untuk industri insurans global dan peranan teknologi insurans sebagai pemecut untuk pertumbuhan ini adalah tepat pada masanya. Melesenkan Axinan merupakan salah satu langkah pertama oleh Labuan IBFC untuk menerima teknologi insurans khususnya dan teknologi kewangan amnya. Kami dengan penuh mesra mengalu-alukan Axinan kepada kedudukan yang pantas berkembang dalam keluarga digital Labuan IBFC.”

Axinan mengkhusus dalam memanfaatkan data raya, pengurusan risiko aktuari dan proses pembelajaran mesin untuk membangunkan penyelesaian buat perusahaan. Ditubuhkan pada tahun 2016, dengan ibu pejabatnya terletak di Singapura, Axinan mempunyai operasi di Australia, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand, dengan pejabat pembangunannya berada di tanah besar China dan juga Taiwan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button