Umum

Apakah Offset Itu Bukan Rasuah?

Semalam, bila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diminta mengulas isu tuduhan rasuah Airbus yang membelenggu Air Asia, beliau menyifatkan permintaan mendapatkan timbal balas atau offset, adalah sesuatu yang lumrah dalam perniagaan asalkan hasil diperoleh tidak dimasukkan poket peribadi. Beliau menambah, permintaan untuk timbal balas atau offset itu juga dilakukan kerajaan dalam perolehan kelengkapan seperti pesawat.

“Sama ada ia dianggap sebagai rasuah atau sebaliknya, terpulang kepada anda. Kalau duit yang dapat itu masuk poket kita, itu rasuah lah. Tapi kalau duit itu untuk tujuan tertentu ia menjadi ‘offset’, bukan rasuah. Itu pandangan saya,” katanya kepada media selepas berucap pada Majlis Amanat dan Aspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, pagi semalam.

Namun, kenyataan tersebut bukan saja mengundang rasa kurang senang penganalisis dan pemerhati pasaran malah menjadi bahan ketawa pengguna laman media sosial sejak semalam. Bagi pakar ekonomi Profesor Yeah Kim Leng, timbal balas dalam transaksi perniagaan memang bersifat menang-menang kepada penjual dan pembeli tetapi maklumat sebegitu seharusnya didedahkan kepada awam untuk mewujudkan medan permainan yang adil kepada pemain sektor. Jika tidak, ia bakal mewujudkan persaingan yang tidak seimbang jika mereka tidak sedar tentang perkara ini.

Profesor Kim Leng yang juga seorang profesor ekonomi di Universiti Sunway berpandangan kunci kepada sesebuah timbal balas ialah ketelusan dan keterbukaan kerana rundingan sebegitu tidak akan diperoleh oleh pemain-pemain lain. Walaupun timbal balas sebegitu tidak membabitkan faedah peribadi, ia masih memerlukan unsur integriti dan ia seharusnya didedahkan kepada umum. Ini berdasarkan ulasan tuduhan rasuah yang membelenggu Air Asia selepas Airbus membayar dua eksekutif tidak bernama syarikat berkenaan untuk membiayai sebuah pasukan sukan yang ada kaitan dengan dua eksekutif berkenaan.

Manakala penganalisis P Gunasegaram menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir seolah-olah cuba menekan agensi-agensi yang menyiasat perkara ini agar tidak mengorek dengan lebih mendalam. Ini berikutan tiga pihak iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SS) sedang menyiasat semua tuduhan berkenaan. Malah, Air Asia juga turut melancarkan siasatan dalaman mereka terhadap tuduhan berkenaan.

Kenyataan yang seolah-olah menghalalkan perbuatan ini muncul pada masa yang tidak sesuai apabila isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor kini berhadapan dengan pertuduhan rasuah sebanyak RM187.5 juta sebagai tukaran kepada kelulusan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di mahkamah. Walaupun nilai yang dinyatakan tidaklah sebesar amaun rasuah yang dibayar Airbus kepada Air Asia, ia masih lagi dalam konteks yang sama iaitu timbal balas.

Jika kerajaan benar-benar komited dalam isu rasuah, maka kerajaan terutama Perdana Menteri harus sedar tentang fakta kes yang dibentangkan. Jika tuduhan yang dilemparkan ini datang dari blog-blog picisan, mungkin boleh juga ditepis. Masalahnya ialah semua fakta membabitkan kes rasuah Airbus disebut di mahkamah Britain membabitkan Pejabat Jenayah Penipuan Berat (SFO) dan ia bukan saja membabitkan Air Asia tetapi juga pelbagai syarikat dari beberapa negara seperti Ghana, Taiwan, Turki dan Brazil. 

Dan ia juga merupakan sebahagian daripada penyelesaian yang dibuat Airbus dengan pihak berkuasa UK, US dan Perancis dengan bayaran penalti sebanyak tiga bilion paun sterling (RM16.02 bilion). Tiga bilion paun! Jika tidak kerana pembekuan dana yang dikenakan ke atas ejen dan perantara pada Oktober 2014, jumlah rasuah yang diterima dua eksekutif Air Asia itu bernilai US$105 juta (RM433.71 juta). Itu satu jumlah yang banyak dan ia akan mendorong lebih banyak perhatian bukan saja daripada pihak berkuasa negara ini tetapi juga negara lain.

Jadi, untuk mengatakan timbal balas ini sebagai sesuatu yang boleh diterima ialah sesuatu yang tidak masuk akal. Ia bukan saja satu jenaka yang bodoh tetapi memperlihatkan sesiapa yang mengatakannya seperti badut sarkas!

SUMBER

1. Kaur, Minderjeet. (2020). Business offset okay but should be made public, says economist. Free Malaysia Today. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2020/02/06/business-offset-okay-but-should-be-made-public-says-economist/

2. Sulaiman, Noor Atiqah dan Mat Ruzki, Rafidah. (2020). Dr Mahathir kata tak salah minta timbal balas. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/02/653133/dr-mahathir-kata-tak-salah-minta-timbal-balas

3. Gunasegaram, P. (2020). Prime Minister, you are oh so wrong over AirAsia bribes. Focus Malaysia. https://focusmalaysia.my/opinion/prime-minister-you-are-oh-so-wrong-over-airasia-bribes/

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker