Kewangan

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Takaful

Topik takaful ini antara topik yang tidak disukai oleh orang awam kerana yang sering bermain dalam fikiran mereka adalah ejen-ejen yang sibuk mengejar mereka untuk menjual produk. Walaupun takaful ini penting bagi setiap individu, ia perlu datang dengan kefahaman tentang konsep takaful itu terlebih dahulu.

Apa itu takaful?

Takaful dari segi bahasa bermaksud saling menjamin, berasal daripada perkataan Arab iaitu kafala. Konsep takaful bertujuan menggalakkan tolong menolong dalam kalangan peserta (pencarum) selari dengan konsep ta’awun.

Dalam takaful, caruman peserta adalah berdasarkan konsep tabarru’ yang bermaksud menderma secara ikhlas. Setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan takaful perlulah menderma (mencarum) dengan niat yang ikhlas untuk membantu para peserta yang jika ditimpa sebarang musibah.

Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang beriman sesame mereka adalah seperti jasad, apabila salah satu daripadanya ditimpa kesusahan, maka seluruh anggota yang lain juga akan merasainya.

Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim

Bacaan berkaitan: Mitos-mitos Takaful

Konsep Takaful

Takaful ini secara asasnya bermaksud perkongsian risiko antara semua pencarum. Untuk memahami konsep takaful dengan lebih mudah, kita ambil contoh khairat kematian yang kebiasaannya disediakan di masjid-masjid atau surau kediaman. Khairat kematian ini fungsinya adalah untuk menampung kos pengurusan jenazah kepada pencarum tabung khairat.

Katakanlah kita duduk di sebuah taman perumahan yang mana jumlah penduduk Islam disitu adalah 100 orang. Kos pengurusan jenazah pula berjumlah RM1,000. Jawatankuasa masjid melancarkan sebuah tabung khairat dengan mengutip RM50 daripada setiap pencarum setiap tahun. Jika kesemua 100 orang penduduk mencarum, maka setiap tahun akan ada RM5,000 dalam tabung khairat tersebut.

Apabila ada salah seorang pencarum meninggal dunia, duit tabung khairat tersebut akan diberikan kepada keluarga si mati untuk menampung kos pengurusan jenazah. Jika ada lebihannya, boleh digunakan wang tersebut untuk menampung belian barang dapur bagi tempoh sebulan dua.

Inilah yang dimaksudkan dengan perkongsian risiko di mana setiap ahli berpakat untuk berkongsi risiko dan menerima manfaat apabila ditimpa musibah.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker