Ad
Umum

Apa Pelan Syed Mohktar Untuk FGV?

Selepas Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mazlan Aliman menyuarakan bantahan terhadap usaha pengambilalihan saham Felda Global Ventures (FGV) oleh pihak ketiga dalam Konvensyen Parti Amanah Nasional Peringkat Kebangsaan baru-baru ini, kenyataan itu mengundang reaksi dari beberapa pihak termasuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dan sesiapa saja yang mendengar komen figura utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) itu harus mengambil perhatian dengan segera.

Apabila diminta mengulas kenyataan Datuk Mazlan, Tun Dr Mahathir berkata bila diajukan soalan wartawan, “FGV ini dia rugi banyak sangat, biasanya bila syarikat rugi, dia closed down (ditutup) atau dijual kepada orang lain. FGV rugi berbilion, jika nak jual syarikat rugi (milik kerajaan) juallah. Kerajaan tidak pandai dalam perniagaan, setiap kali kita buat syarikat akan bangkrap.” Kenyataan ini harus mendapat tumpuan segera Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan FGV, Felda dan Koperasi Pengurusan Felda (KPF).

Ini kerana menurut bekas CEO dan Presiden Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad, FGV yang ditubuhkan semasa era Raja Tan Sri Muhammad Alias Raja Muhammad Ali sehinggalah pertengahan tahun 2018, syarikat masih berada pada kedudukan kewangan yang baik dan mencatat keuntungan yang memberangsangkan. Tetapi selepas diambil alih oleh lembaga pengarah dan pengurusan baru termasuk jawatan CEO yang disandang Datuk Haris Fadzillah Hassan, FGV menunjukkan kemerosotan dengan mencatat kerugian demi kerugian dan tidak lepas dari dilanda kontroversi. Datuk Zakaria turut mendedahkan selepas beliau berhenti dari FGV, semua bentuk hubungan dengan pihak pengurusan dipotong terus.

Ad

Oleh sebab itulah, apabila cadangan pengambilalihan ini timbul, Datuk Zakaria bersama beberapa pemimpin NGO Felda termasuk Ketua Peneroka dijemput menghadiri satu sesi penerangan yang dianjurkan oleh wakil jutawan Melayu terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Walaupun tidak tahu mengapa dirinya dijemput menghadiri sesi berkenaan, beliau mengesyaki mereka tahu dirinya merupakan penentang tegar sebarang usaha pengambilalihan FGV. Dalam sesi tersebut, wakil Tan Sri Syed Mokhtar mengutarakan beberapa cadangan menarik sekiranya usaha menjadi rakan strategik dan pemegang saham majoriti FGV berjaya. Antara cadangan yang dinyatakan ialah:

  • Membatalkan perjanjian sewa tanah (LLA) dan mengembalikan tanah seluas 350K hektar kepada FELDA.
  • Mendapatkan dana untuk membantu FELDA melaksanakan program tanam semula ke atas ladang Peneroka yang telah tertunggak.
  • Membantu KPF meningkatkan pegangan saham di dalam FGV serta melindungi pegangan saham FELDA dan KPF di dalam FGV.
  • Memberi Jaminan Prestasi kepada FELDA dan KPF di dalam pengurusan kilang dan operasi ladang.
  • Bekerjasama dengan FELDA dan KPF untuk melindungi Peneroka daripada harga pasaran sawit yang tidak menentu.
  • Mengembangkan dan menambah nilai aktiviti hiliran syarikat tempatan secara agresif untuk menyelamatkan industri minyak kelapa sawit Malaysia dan mencegah CPO daripada dieksport dengan harga yang lebih murah.
  • Bersama-sama dengan FELDA, KPF dan Tradewinds menubuhkan konsortium untuk melindungi peladang tempatan dan industri minyak sawit daripada pedagang dan tekanan pasaran melalui pembelian buah sawit oleh konsortium dan melaksanakan mekanisma jaminan harga.
  • Konsortium baru ini akan menjadi tunjang kepada kemajuan FELDA dan Malaysia melalui pewujudan kerja berpendapatan tinggi, ekonomi skala besar (economies of scale), mempertingkatkan taraf pendidikan dan latihan serta membangunkan usahawan dari kalangan generasi kedua dan ketiga peneroka.
  • Menggunakan sumber daripada kumpulan syarikat yang dipegang Tan Sri Syed Mokhtar untuk membangunkan penempatan FELDA termasuk Infrastruktur, Telekomunikasi, Sumber Makanan, Pengangkutan, Tenaga, Pendidikan dan Budaya.
  • Cadangan ini adalah untuk melindungi FGV dan aset-asetnya daripada dimanipulasi oleh pedagang rakus, syarikat konglomerat asing dan orang yang tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan ke atas FGV dan FELDA ketika ia berada pada kedudukan yang paling lemah.

Selepas menghadiri sesi penerangan dan mendengar sendiri gagasan-gagasan yang dibangkitkan oleh wakil Tan Sri Syed Mokhtar, kegusaran Datuk Zakaria terhadap usul pengambilalihan berkurangan sama sekali. Tanpa mendedahkan pengetahuannya berkenaan rancangan Tan Sri Syed Mokhtar itu, beliau turut mengadakan pertemuan dengan bekas figura-figura utama Felda dan Felda Holdings, pemimpin firma-firma swasta dan pelbagai pemegang saham FGV sendiri berkenaan isu itu. Pelbagai reaksi yang diterima beliau. Ada yang sedia menyokong dan ada pula yang menolak kerana menganggap perbuatan itu sebagai satu pengkhianatan.

Walau apapun pendirian yang diambil Felda, FGV dan KPF dalam isu ini, ketiga-tiga pihak harus melihat isu ini secara objektif tanpa dipengaruhi oleh emosi. Ini kerana pada akhirnya, matlamat utama ketiga-tiga pihak ialah memastikan soal kebajikan golongan peneroka dan generasi Felda seterusnya terus terbela. Dan jika isu pengambilalihan ini dilihat bersifat menang-menang kepada semua pihak, maka kita harus berdoa agar ia memberi kebaikan kepada semua dan mengelak dari cubaan sabotaj yang hanya berminat menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button