Ad
Komentar

Apa Nasib Kampung Baru

Kampung Baru: Sebarang Tindakan Kerajaan Mestilah Memenangi Kepentingan Rakyat Dan Mengekalkan Identiti Kampung Baru Sebagai Kampung Warisan

  1. Tumpuan kerajaan Pakatan Harapan terhadap Kampung Baru baru-baru ini adalah amat dialu-alukan di dalam memberi nafas baru kepada kualiti persekitaran Kampung Baru yang berada di dalam Kawasan Rizab Melayu (KRM). Identiti Kampung Baru sebagai satu warisan Kuala Lumpur juga perlu dikekalkan dan tiada salahnya wujud kampung warisan ditengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

  2. Baru-baru ini terdapat satu notis yang telah disebarkan melalui aplikasi whatsapp yang menyatakan satu sesi townhall bersama pemilik dan waris tanah Kampung Baru akan di adakan bagi membincangkan keputusan atas dua pilihan untuk menjayakan pembangunan Kampung Baru bersama-sama Menteri Wilayah Persekutuan.

  3. Namun yang demikian adalah dikhuatiri sekiranya benarlah seperti apa yang dinyatakan oleh notis ini, maka kerajaan hari ini sememangnya tidak lansung memperjuangkan nasib rakyat terutamannya Melayu bandar kerana tidak memberi pilihan yang selaras dengan objektif yang telah digariskan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 (PSKL2020).

  4. Kerajaan juga dilihat menyalahgunakan kuasa dengan memaksa pemilik dan waris tanah memilih hanya dua pilihan iaitu, pembelian tanah secara sukarela dan sekiranya tidak, kerajaan akan menggunakan kaedah undang-undang atau kedua-duanya sekali.

  5. Ini adalah satu contoh pemerasan kerajaan terhadap rakyat terutamanya rakyat Melayu di Kampung Baru yang seolah-olah hendak dihalau keluar terus daripada tanah yang bernilai berbilion-bilion ringgit.

  6. Kerajaan perlu kembali kepada objektif yang telah digariskan oleh PSKL2020 iaitu; bagi tujuan melibatkan KRM, kampung-kampung tradisional dan kampung-kampung baru dalam arus pembangunan Bandarayasupaya dapat mewujudkan struktur bandar yang efisien dan saksama serta imej yang konsisten dengan wawasan Kuala Lumpur sebagai sebuah Bandaraya Bertaraf Dunia;
    Menyusun semula dan mengoptimumkan penggunaan tanah dalam KRM, kampung tradisional dan kampung-kampung baru dan mengalakkan penglibatan kaum Bumiputera dalam aktiviti ekonomi Bandaraya melalui pembangunan KRM dan kampung tradisional.

  7. Objektif kedua adalah untuk meningkatkan persekitaran hidup dalam KRM, kampung tradisional dan kampung-kampung baru; Memperbaiki kualiti perumahan dan persekitaran kediaman, menyediakan persekitaran hidup yang bersih dan selesa, disokong oleh infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan yang efisien dan Memastikan penyediaan kemudahan masyarakat berkualiti tinggi yang mencukupi.

  8. Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mahu mengingatkan Menteri Wilayah Persekutuan bahawa sebarang rundingan terhadap pemilik dan waris tanah Kampung Baru perlulah dilaksanakan berasaskan objektif-objektif yang telah digariskan oleh PSKL2020 dan bukan bersifat memaksa termasuklah dengan menggunakan kaedah undang-undang untuk menghalalkan cara.

  9. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat kampung baru mencapai objektif yang telah digariskan dan bukan menolak mereka keluar dari Kawasan kampung baru demi mencapai matlamat menjadikan tanah Kampung Baru sebagai “lombong emas” bagi mereka yang mempunyai kepentingan.

  10. Isu tanah kampung baru ini amat unik dan sensitif memerlukan proses konsultansi yang berterusan. Sebarang perancangan haruslah melibatkan penduduk Kampung Baru sebagai pihak berkepentingan paling utama. Wang ringgit tidak akan berkekalan maka penduduk Kampung Baru perlukan sesuatu yang bersifat jangka panjang demi kelansungan hidup mereka.

Ditulis oleh: Mohd Nizham Abdullah Hamidi

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan MyTwoCents.

Ad

M2C

Menyajikan artikel dan ulasan terkini isu-isu kewangan, perbankan, perniagaan, polisi dan teknologi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles

Back to top button