Ekonomi

Apa Itu ‘Government Linked Investment Company’ (GLIC) Di Malaysia

Sektor korporat sangat penting dalam memacu ekonomi negara Malaysia. Pergerakan pasaran saham di Malaysia sangat dipengaruhi oleh aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan atau dalam Bahasa Inggerisnya Government Linked Investment Company (GLIC). Selain dalam menggerakkan pasaran saham di Malaysia, GLIC ini juga berfungsi sebagai penggerak polisi-polisi yang dirangka oleh kerajaan.

Berikut adalah senarai GLIC yang ada di Malaysia;

  1. Khazanah Nasional Berhad
  2. Permoadan Nasional Berhad
  3. Kumpulan Wang Persaraan Pekerja (KWSP)
  4. Kumpulan Wang Awam Persaraan (KWAP)
  5. Lembaga Tabung Haji (LTH)
  6. Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)
  7. Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD)

Syarikat-syarikat seperti di atas sangat berpengaruh dalam menentukan pergerakan pasaran Bursa Malaysia kerana dana yang dimiliki oleh syarikat-syarikat teramatlah besar. Sebagai contoh, Permodalan Nasional Berhad memegang lebih kurang 10% daripada pasaran modal yang ada di Bursa Malaysia (Permodalan Nasional Berhad, 2018).  

Perkara asas yang perlu diketahui mengenai GLIC ialah kementerian yang bertanggungjawab ke atas setiap syarikat. Terdapat 3 kementerian yang berpengaruh dalam memberi arahan atau melantik ahli lembaga pengarah dalam GLIC tertentu. Kementerian tersebut ialah;

  1. Kementerian Kewangan
  2. Jabatan Perdana Menteri
  3. Kementerian Pertahanan

Untuk Kementerian Kewangan Malaysia, terdapat 5 buah GLIC yang diletakan bawah kementerian ini iaitu Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Awam Persaraan (KWAP) dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

KWAP, KWSP dan Permodalan Nasional Berhad mempunyai persamaan dalam memperolehi dana yang akan dilaburkan. Dana yang diperolehi adalah daripada caruman daripada rakyat Malaysia. Namun, pencarum-pencarum yang memberikan dana kepada GLIC ini mempunyai perbezaan dari segi pekerjaan dan aktiviti pelaburan mereka.

KWAP memperolehi dana daripada pekerja-pekerja kerajaan. Manakala, KWSP pula memperolehi dana daripada pekerja-pekerja swasta. KWAP dan KWSP yang melaburkan dana yang diperolehi oleh rakyat Malaysia ke dalam pasaran saham, hartanah, dan bond untuk memberikan pulangan yang memberangsangkan kepada pencarum-pencarum mereka. Manakala, PNB memperolehi dana daripada pencarum-pencarum yang mencarum melalui skim-skim yang ditawarkan oleh PNB. Antara skim-skim yang ditawarkan oleh PNB kepada rakyat Malaysia ialah Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Wawasan (ASW) dan pelbagai lagi skim-skim dengan ciri-ciri yang berbeza.

Khazanah Nasional Berhad ialah sebuah syarikat yang aktif dalam pelaburan di dalam dan luar negara. Khazanah mempunyai pemilikan dalam beberapa syarikat yang strategik seperti MAHB, Tenaga Nasional Berhad, IHH dan lain-lain. Khazanah memperolehi dana daripada sukuk atau bon yang diterbitkan dengan jaminan kerajaan untuk memulakan aktiviti-aktiviti pelaburan mereka. Pada waktu ini, Khazanah aktif dalam penjualan aset yang dimiliki kepada pelabur-pelabur dalam dan luar negara. Penjualan aset-aset strategik kepada pihak asing sangat merugikan kepada negara Malaysia dalam memacu ekonomi dan pembangunan bakat-bakat yang ada di Malaysia.

Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) atau dalam Bahasa Inggerisnya iaitu Minister of Finance Incorporated (MoF Inc.) berfungsi sebagai syarikat yang memastikan pembangunan dan pelaburan oleh kerajaan Malaysia dapat dilaksanakan dengan baik. Di bawah penyeliaan MKD ini, terdapat banyak syarikat pelbagai tujuan atau dalam Bahasa Inggerisnya iaitu special purpose vehicle (SPV). Kerajaan akan menubuhkan SPV dengan menerbitkan bon atau sukuk untuk projek-projek infrastruktur dan pembangunan.

Selain daripada SPV, MKD juga memegang beberapa syarikat-syarikat untuk membiayai projek-projek infrastruktur seperti Prasarana Malaysia Berhad untuk projek Light Rail Transit (LRT) dan Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).

Seterusnya, Jabatan Hal Ehwal Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri menyelia Lembaga Tabung Haji (LTH) dalam menentukan ahli lembaga pengarah dan memastikan aktiviti pelaburan dirancang dengan baik. Lembaga Tabung Haji adalah hasil buah idea daripada Prof. Regius Dr. Ungku Aziz. LTH berfungi sebagai entiti pelaburan dan simpanan haji untuk umat Islam Malaysia. LTH juga memberi subsidi sebanyak RM 9,000 kepada penyimpan yang ingin menunaikan ibadah fardhu tersebut. LTH juga aktif dalam melabur dana yang diperolehi oleh pencarum-pencarum dalam pasaran Bursa Malaysia dan hartanah. Pulangan yang diperolehi daripada pelaburan akan dibagi semula kepada pencarum dalam bentuk hibah atau terma konvensionalnya iaitu dividen.

Terakhir sekali ialah Kementerian Pertahanan yang menyelia Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). LTAT mempunyai fungsi yang hampir serupa seperti KWSP dan KWAP. Namun, dana yang diperolehi oleh LTAT adalah daripada tentera yang berkhidmat dalam Tentera Di Raja Malaysia. LTAT juga mempunyai aktiviti pelaburan yang serupa seperti GLIC yang lain. Kebanyakan dana yang diperolehi akan dilaburkan dalam pasaran saham di Malaysia. Hal ini menjamin kehidupan tentera Malaysia selepas mereka pencen kelak.

Pergerakan pelaburan GLIC ini amat penting kepada ekonomi Malaysia. Mereka mengawal pasaran Bursa Malaysia. Segala aktiviti yang dilakukan oleh GLIC akan memberikan sentimen positif atau negatif kepada pasaran Malaysia khasnya dan ekonomi Malaysia amnya.

Sumber
E.T. Gomez., T. Padmanabhan., K. Norfaryanti., S. Bhalla., F. Faisal. (2018). Minister of Finance Incorporated Ownership and Control of Corporate Malaysia.Permodalan Nasional Berhad. (2018). Annual Report 2018.
Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker