Kewangan

Apa Itu Akaun Semasa

Selain akaun simpanan, kita ada akaun semasa. Akaun semasa ni lebih sesuai untuk perniagaan kerana ditawarkan bersama kemudahan menggunakan cek. Pengguna boleh mengeluarkan cek untuk membuat bayaran.

Tetapi hari ini, kebanyakan bank sudah tidak menggalakkan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan cek sebab perkhidmatan ni mahal. Kos setiap helaian cek diserap oleh bank, dan kos untuk menunaikan cek itu sendiri pun mahal.

Pada masa sama, Bank Negara Malaysia pun sudah tidak menggalakkan penggunaan cek dan membenarkan bank untuk mengenakan bayaran atas pengguna bagi cek yang dikeluarkan. Dijangkakan, cek mungkin akan dilupusguna dalam masa 10 tahun. Apapun, tak rugipun kalau takde cek sudah.

Setiap keping cek tu kena bayar duit duti setem RM0.15 tambah caj penghantaran. Kalau salah tulis tak boleh potong suka-suka ataupun guna cecair pemadam kerana cek akan tendang.

Satu lagi kelemahan cek adalah ianya boleh dicuri dan dipalsukan. Pernah ada syarikat kehilangan 6 digit akibat pemalsuan cek.

Akaun semasa juga mempunyai kemudahan kad debit bagi pengguna persendirian serta juga boleh menggunapakai perkhidmatan pindahan dana sama seperti akaun simpanan.

Berbeza daripada akaun simpanan, akaun semasa boleh mengenakan caj ke atas pengguna sekiranya simpanan kurang daripada nilai tertentu.

Kebiasaanya, akaun semasa tidak membayar faedah/hibah. Namun berikutan kecairan yang berkurangan, bank hari ini mula memberi bayaran faedah/hibah untuk duit dalam akaun semasa.

Jadi apa beza dengan akaun simpanan? Banyak je faedah guna akaun simpanan berbanding akaun semasa. Mesti ada yang fikir macam tu.

Akaun semasa adalah produk yang disesuaikan untuk tujuan perniagaan. Manakala akaun simpanan seperti namanya, untuk simpanan.

Oleh sebab tujuannya untuk perniagaan, akaun semasa hanya dibuka kepada mereka yang 18 tahun dan ke atas. Sudah akil baligh.

Baca juga: Jenis Perkhidmatan Daripada Bank

Memandangkan akaun semasa adalah untuk tujuan perniagaan, pengguna akaun semasa boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan overdraf. Jumlah overdraf yang boleh digunakan bergantung kepada rekod kredit pengguna serta keperluan perniagaan. Dengan adanya overdraf, ini memudahkan kecairan aliran tunai untuk keperluan perniagaan.

Kalau nak guna akaun semasa dan cek pada masa yang sama, si pengguna perlu berhati-hati, perlu memastikan jumlah wang mencukupi untuk menyelesaikan bayaran kepada cek yang sudah dikeluarkan. Ini adalah untuk mengelakkan cek kena tendang. Kalau cek kena tendang, ada caj RM100, tapi bergantung kepada bank.

Selain itu, nama pengguna akan dimasukkan ke dalam sistem DCHEQS. Sistem DCHEQS ni untuk bank-bank memantau pemilik akaun yang sering mengeluarkan cek tendang. Pengguna yang telah mengeluarkan cek tendang sebanyak 3 kali dalam tempoh masa 6 bulan akan dianggap tidak layak menggunakan akaun semasa dan akan diarahkan tutup.

Namun, dengan langkah terkini Bank Negara Malaysia yang tidak menggalakkan penggunaan cek, mungkin pengguna akan dibenarkan kekal menggunakan akaun tersebut, cuma tidak lagi dibenarkan mengeluarkan cek.

Satu lagi kelebihan akaun semasa adalah bank juga ada menawarkan akaun semasa dalam bentuk matawang asing seperti USD, SGD, AUD, dan beberapa matawang lain. Namun, ini hanya terbuka kepada perniagaan yang mempunyai perniagaan import dan export untuk memudahkan proses perniagaan.

Kita sudah lihat bagaimana akaun semasa digunakan. Dan tadi kita ada menyentuh pembayaran hibah ke atas dana dalam akaun semasa. Dahulunya, akaun semasa cuma ditadbir menggunakan konsep al-Wadiah.

Tetapi bank hari ini telah beralih kepada konsep mudharabah berasaskan komoditi. Ini menguntungkan para pengguna kerana keuntungan hasil pelaburan yang diperoleh pihak bank perlu disalurkan kembali kepada para pengguna.

Seterusnya, kita akan melihat pada akaun tetap atau akaun deposit bertempoh. Tengoklah, minggu depan nanti, saya akan tuliskan untuk anda. Daripada kami di My Two Cents. Dari Marhaen kepada Marhaen untuk Marhaen.

Penulis: DL

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Lain

Close
Back to top button
Close