Kewangan

Amanah Saham : Fahamkan Asas Untuk Pulangan Lumayan

Sehingga 31 Julai 2018, terdapat sebanyak 672 dana unit amanah yang telah disahkan oleh Security Commission. Setiap dana ini berbeza objektifnya. Sebelum anda pening kepala nak pilih dana mana satu, anda kena tahu struktur unit amanah dulu.

Dana-dana ini boleh dibahagikan kepada tiga jenis risiko iaitu risiko tinggi, sederhana dan rendah. Setiap dana berbeza matlamat dan objektifnya. Jadi, pastikan anda pilih dana yang sesuai dengan objektif pelaburan anda.

Setelah sesuatu dana itu diluluskan oleh Security Commission, barulah syarikat pengurus unit amanah dibolehkan untuk mengumpul duit daripada pelabur-pelabur. Proses untuk sesuatu dana dan aktiviti kumpul duit orang ramai sangat ketat dan tak mudah.

Dalam hal dana amanah saham, setiap dana kena ada syarikat pemegang amanah (trustee) dan badan penasihat syariah untuk menentukan sama ada sesuatu dana itu syariah compliance ataupun tidak. Dengan adanya pemegang amanah, pelabur tidak perlu risau jika berlakunya bankrap pada syarikat pengurus amanah saham contohnya (sangat mustahil untuk berlaku).

Caj-caj Yang Terlibat

Berdasarkan struktur inilah kita boleh tahu caj-caj yang dikenakan.

Antaranya adalah caj servis dan jualan (sales charge). Caj ini akan dikenakan pada bila pelabur bersetuju untuk melabur melalui ejen unit trust. Kebiasaannya jika melabur guna tunai, caj yang dikenakan sehingga 6%, manakala jika gunakan KWSP, cajnya sehingga 3%.

Dengan Fintech (Financial Technology) yang ada sekarang ni, bahagian ini boleh dilupuskan untuk mengurangkan lagi kos-kos yang terlibat. Bagi yang ingin tahu tentang teknologi KWSP yang terkini untuk melabur dengan caj jualan serendah 0 – 0.5%, anda boleh baca artikel ini.

Baca : Cara Labur Unit Trust Menggunakan i-Invest KWSP

Selepas itu, duit dikumpulkan dalam dana syarikat amanah saham yang telah pelabur pilih. Disini pula, akan dikenakan caj pengurusan secara tahunan. Caj ni tak tinggi seperti caj jualan, lebih kurang 1.5% setahun. Tambahan, kita pun tak boleh nampak caj ini ditolak daripada duit pelaburan kita kerana caj ini telah diserap dalam harga unit. Contohnya, kita beli unit pada harga 0.51, harga yang kita beli itu memang sudah termasuk sekali caj pengurusan ni. Caj inilah mungkin digunakan untuk menanggung kepakaran pengurus dana yang telah kita pilih.

Ke Mana Duit Dilaburkan ?

Penentuan dan keputusan ke mana duit dana tersebut dilaburkan adalah diuruskan oleh pengurus dana yang professional. Ke mana pengurus dana ini laburkan kita boleh lihat dalam prospekturs dana.

Dengan memahami konsep ini, kita boleh faham kenapa kita lihat prestasi dana untuk tahun-tahun sebelumnya. Analoginya seperti pengurus pasukan bola. Kita boleh lihat kalau pengurus sesuatu pasukan tu bagus, pasukan bola tu pun bagus.

Contohnya, ada satu dana ni memang menunjukkan prestasi yang bagus selama berpuluh tahun. Tapi bila pengurus dana ini dilamar oleh syarikat lain, dana tersebut terus terjejas prestasinya. Tambahan, prestasi yang lepas tidak menjanjikan prestasi yang akan datang. Paling tidak, kita ada analisis kita kenapa kita pilih sesuatu dana itu.

Adakah Pelabur Dikira Sebagai Pemilik Saham?

Walaupun dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membeli saham-saham yang ada dalam Bursa contohnya, ini tak bermakan pelabur dikira sebagai pemilik saham.

Pemilikan dana ni akan dibahagikan kepada unit-unit. Jadi, bila pelabur bersetuju untuk melabur, pelabur sebenarnya hanya memiliki unit dalam dana tersebut. Turun naik harga unit yang dimiliki akan diterjemahkan melalui nilai pelaburan anda. Contohnya, anda beli Dana A dengan harga RM0.50 seunit sebanyak RM1,000. Jadi, anda telah memiliki sebanyak 2,000 unit. Bila nilai unit meningkat kepada RM0.60 , nilai pelaburan anda akan jadi seperti berikut :

2.000 x RM0.60 = RM1,200

Pulangan Amanah Saham

Terdapat dua jenis pulangan dalam amanah saham iaitu pengagihan pendapatan (income distribution) dan kenaikan harga (capital gain / appreciation).

Pengagihan pendapatan biasanya orang kita panggil dividen. Amanah saham swasta ini tidak seperti ASB yang memang beri dividen setiap tahun. Dalam amanah saham swasta, dividen diberi berdasarkan status kewangan dana tersebut. Walaubagaimanapun, kita boleh buat analisa dana apa yang konsisten beri dana setiap tahun.

Ini penting untuk mereka yang tidak mahu ambil risiko yang tinggi dan hanya mahukan dividen tahunan secara konsisten. Kategori dana yang biasanya beri dividen adalah dana kapital besar (large cap). Dana jenis ni tak terlalu agresif tapi konsisten bagi dividien.

Ibaratnya seperti syarikat besar dan telah stabil, nak berkembang dah tak boleh tapi konsisten jana pendapatan dan setiap tahun beri bonus kepada staf-staf. Begitulah analoginya.

Adapun syarikat kecil yang belum stabil tapi ia berpotensi untuk berkembang lebih jauh dan jana keuntungan yang besar. Dalam masa, ada risiko yang tinggi juga untuk lingkup. Inilah analogi untuk dana kapital kecil (small cap). Dana jenis ini biasanya pelabur dah sasarkan untuk dapat kenaikan harga unit dengan membeli pada unit yang murah dan pada waktu yang betul.

Pelaburan strategi sebegini sesuai untuk mereka yang sanggup ambil risiko tinggi dan mempunyai ilmu serta kemahiran dalam pelaburan.

Bukan itu sahaja, jika kita pandai pilih, kita juga boleh melabur dalam dana yang memberi kedua-dua jenis keuntungan ini.

Ramai yang salah faham bila dapat dividen tu bermakna pelabur akan dapat duit. Tak, ia tidak seperti ASB. Walaupun ASB pun sebenarnya adalah unit amanah, tetapi harganya kekal pada nilai RM1. Jadi, bila dividen diumumkan, kalau orang nak keluarkan duit tu tiada masalah.

Lain pula dalam amanah saham swasta ni. Dividen akan diberi dalam bentuk unit bukan jumlah ringgit. Kebiasaannya, bila dividen diumumkan, pelabur memang memperoleh unit tambahan tetapi nilai pelaburan biasanya akan jatuh. Ini kerana harga akan diselaraskan selepas pengumuman dividen. Oleh itu, pengeluaran duit selepas dividen diumumkan adalah tidak digalakkan kerana anda sebenarnya sedang rugi (loss on paper).

Strategi utama dalam amanah saham adalah pengumpulan unit sebanyak yang mungkin. Setiap kali pengisytiharan dividen, pelabur akan peroleh unit secara percuma kerana dividen yang diterima akan dilaburkan semula. Contoh, anda sekarang dah melabur sebanyak RM1,00 dengan membeli 2,000 unit pada harga RM0.50. Selepas dividen, anda dapat ekstra 500 unit tapi harga unit jatuh jadi RM0.30, nilai pelaburan semasa anda adalah RM750. Anda sedang rugikan ? Untuk jangka masa panjang, unit anda akan bertambah, harga unit pun akan meningkat.

Bila harga jadi RM0.50 semula, nilai pelaburan anda terkini adalah RM1,250. Lagi bijak, semasa sedang murah, anda tambah lagi pelaburan sebanyak RM1,000. Bila anda buat begini, anda sebenarnya sedang kurangkan kos belian anda (average down). Lagi murah kos anda, lagi tinggi margin keuntungan kan ?

Sampai sini sahajalah dahulu. Ada banyak lagi strategi dalam amanah saham ni. Untuk permulaan, anda fahamkan dulu asas amanah saham ni.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker