Ekonomi

Adakah Semua Monopoli Itu Tidak Baik?

Sejak kerajaan beralih tampuk kepimpinan setahun yang lalu, Menteri dan kepimpinan baru telah mengambil pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kos sara hidup. Antaranya adalah melalui usaha untuk menilai semula sistem monopoli yang dijalankan dalam beberapa industri utama di Malaysia. Terkini kerajaan telahpun menyenaraikan 4 syarikat yang dikatakan mengamalkan monopoli dan akan melalui proses penilaian semula; MyEG, BERNAS, Pharmaniaga dan PUSPAKOM.

Sekalipun usaha ini nampak murni dan kelihatan seperti boleh untuk menyelesaikan isu utama, namun kita perlu menilai kembali sistem monopoli yang telah diamalkan di negara ini dari sudut yang berbeza.

Sistem monopoli dalam perniagaan selalu dipandang buruk kerana sifatnya yang membenarkan sesebuah syarikat hak untuk mengawal harga barangan atau perkhidmatan yang disediakan. Namun, ada beberapa situasi yang perlu diambil kira dalam untuk memastikan produk atau perkhidmatan dikawalselia dan disediakan oleh syarikat yang benar-benar berhak dalam bentuk monopoli.

Di Malaysia, perkhidmatan atau barangan yang sentiasa diperlukan oleh rakyat dalam sesebuah negara adalah antara yang memerlukan sistem monopoli. Ini kerana, hanya syarikat yang benar-benar berkemampuan sahaja akan dibenarkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan supaya bekalan tidak putus kepada rakyat. Contohnya, penyediaan perkhidmatan elektrik, ubat-ubatan dan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan. Oleh itu, sistem monopoli telah dijalankan dengan pemantauan oleh pihak Kerajaan sendiri.

Syarikat-syarikat ini yang menjalankan monopoli telah dilantik oleh kerajaan untuk memastikan bekalan terus dapat disediakan kepada rakyat. Latarbelakang syarikat haruslah menepati syarat-syarat ketat yang ditentukan oleh kerajaan. Hal ini bagi memastikan satu sistem monopoli yang baik boleh dijalankan bagi memberi situasi menang-menang kepada syarikat, kerajaan dan rakyat.

Antara kebaikan sistem monopoli adalah seperti berikut:

  1. Menyediakan bekalan perkhidmatan atau barangan secara konsisten
  2. Kerajaan dapat mengawal harga bekalan
  3. Operasi perniagaan yang memerlukan modal yang besar dapat dijalankan

Sebagai contoh di Malaysia ialah syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyediakan utiliti dan perkhidmatan elektrik kepada seluruh Malaysia. Penyediaan dan operasi perkhidmatan ini memerlukan modal yang besar untuk terus beroperasi. Justeru, kerajaan akan melantik sebuah syarikat yang selayaknya untuk menjalankan aktiviti perniagaan ini. TNB merupakan sebuah syarikat yang pakar dalam bidang perkhidmatan elektrik mempunyai kompetensi untuk terus menyediakan bekalan elektrik ke seluruh Malaysia.

 TNB yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan pakar dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh untuk menyediakan perkhidmatan ini.  Andaikata perkhidmatan elektrik di Malaysia tidak menjalankan sistem monopoli, perkhidmatan ini akan ditawarkan oleh syarikat berbeza yang mempunyai kemampuan yang berbeza. Masalah yang akan timbul adalah, pertama; kerajaan tidak boleh mengawal kualiti perkhidmatan yang akan berbeza-beza mengikut syarikat,

Kedua; tanpa sistem monopoli, kita akan membuka peluang untuk manipulasi tarif oleh pemain industri yang akhirnya akan lebih merugikan rakyat. Melalui kaedah monopoli ini kerajaan bukan sahaja mampu mengawal tarif elektrik di seluruh Malaysia, malah memastikan bekalan keperluan utama negara seperti elektrik boleh diberikan secara berterusan.

Selain TNB, salah satu syarikat yang disenaraikan sebagai monopoli adalah Pharmaniaga Berhad. Pun begitu, penulis berpendapat, apa yang dijalankan oleh Pharmaniaga bukanlah satu bentuk monopoli sebaliknya kontrak konsesi yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui syarikat ini membolehkan operasi membekalkan ubat ke seluruh 148 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan di seluruh negara boleh berjalan lancar.

Kenyataan bahawa Pharmaniaga bukan lah monopoli mahupun satu-satunya pemegang konsesi di Malaysia turut disokong oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad. Beliau menegaskan bagaimana Pharmaniaga juga perlu melalui sistem tender dan proses yang sama seperti syarikat lain. Pun begitu, perkhidmatan logistik dan pengedaran ubat-ubatan dan kelengkapan hospital melalui Pharmaniaga telah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat.

Pharmaniaga memastikan setiap bekalan ubat dikendalikan dan dihantar ke seluruh pelusuk negara, termasuk lah ke kawasan pedalaman dan terpencil. Sekiranya bekalan ubat-ubatan tergendala secara tiba-tiba, rakyat Malaysia yang mempunyai penyakit kronik tidak dapat disembuhkan kerana bekalan tidak dapat disediakan dengan pantas. Justeru, Pharmaniaga Berhad merupakan sebuah syarikat perbekalan yang berhak untuk menjalankan aktiviti perniagaan ini. Operasi perniagaan seperti ini memerlukan modal yang besar untuk dijalankan. Maka, Pharmaniaga merupakan syarikat yang layak dan pakar telah dilantik oleh kerajaan untuk menyediakan bekalan ini.

Puspakom Sdn Bhd (PUSPAKOM) merupakan syarikat pemeriksaan kenderaan yang pertama dan satu-satunya dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menjalankan semua pemeriksaan mandatori bagi kedua-dua kenderaan komersial dan persendirian. Syarikat ini berperanan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan supaya kenderaan berada dalam keadaan yang selamat untuk dipandu di atas jalan raya.

Setiap tahun, PUSPAKOM menjalankan lebih daripada 3 juta pemeriksaan kenderaan. Syarikat ini mempunyai 56 pusat pemeriksaan yang lengkap dengan peralatan yang diiktiraf dan dikalibrasi oleh pihak berkaitan setiap masa. Dalam memastikan keselamatan jalan raya di Malaysia berada dalam keadaan terkawal, PUSPAKOM amat berpengalaman dalam memastikan kenderaan dipandu dalam keadaan selamat supaya kemalangan jalan raya dapat dielakkan dengan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan ke atas kenderaan yang ada di Malaysia.

2 keburukan sistem monopoli adalah seperti berikut:

  1. Harga kompetitif tidak dapat ditawarkan
  2. Pilihan perkhidmatan atau barangan sangat terhad

Keburukan sistem monopoli menyebabkan rakyat di sesuatu negara terpaksa memakai produk atau servis yang ditawarkan kepada mereka. Apabila sesuatu barang itu dimonopoli oleh sebuah syarikat, harga kompetitif tidak dapat ditawarkan kepada pengguna kerana harga yang ditetapkan hanya boleh diubah oleh syarikat itu sendiri. Sekiranya, sesuatu produk atau servis disediakan oleh pelbagai syarikat, harga yang kompetitif akan dapat ditawarkan kepada pengguna.

Sifat semula jadi manusia akan mencari produk atau servis yang paling murah kerana mereka ingin menjimatkan kos kehidupan harian mereka demi kelangsungan hidup masing-masing. Apabila banyak syarikat ditubuhkan untuk menyediakan sesuatu perkhidmatan atau barangan, harga akan menjadi kompetitif kerana syarikat-syarikat ini akan berlumba-lumba untuk menghabiskan produk mereka demi kelangsungan operasi perniagaan mereka.

Rakyat juga terpaksa menggunakan perkhidmatan atau barangan yang disediakan kepada mereka apabila sistem monopoli dijalankan di dalam sebuah negara. Pilihan yang terhad akan menyebabkan harga akan dikawal secara tetap oleh syarikat yang memonopoli sesuatu perkhidmatan atau barangan tersebut.

Perkara yang terburuk, syarikat terbabit dalam sistem monopoli ini akan mengabaikan kualiti dalam penyediaan perkhidmatan dan barangan mereka. Kerana, rakyat tidak mempunyai pilihan selain daripada apa yang mereka sediakan. Apabila kualiti yang disediakan dalam keadaan buruk, kehidupan rakyat tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

Sistem monopoli ini mempunyai kebaikan dan keburukan bergantung kepada situasi. Kerajaan seharusnya memainkan peranan penting dalam mengawal syarikat-syarikat yang memonopoli sesuatu barangan atau perkhidmatan supaya rakyat dapat menggunakannya dengan baik dan harga yang ditetapkan adalah mampu milik. Sekiranya kerajaan melantik sesebuah syarikat yang benar-benar layak dalam sistem monopoli, rakyat akan berasa berpuas hati dengan perkhidmatan dan barangan yang disediakan.

Sekalipun kerajaan bercadang untuk menilai semula beberapa syarikat untuk kepentingan rakyat, kerajaan perlu mengambil kira beberapa faktor termasuklah dari sudut operasi dan pelaksanaan bagi mewujudkan kepentingan kepada rakyat. Selain daripada kebolehan syarikat tersebut, kerajaan juga perlu mengambil kira faktor kos, logistik, aset dan kepakaran.

Selanjutnya...

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker